top of page

     Imigran dari Filipina di Sabah kebanyakannya datang daripada wilayah Mindanao.  Mereka datang dengan menggunakan bot laju dan pengangkutan air yang lain.  Tempat yang ditujui oleh mereka di Sabah adalah Kudat dan Sandakan.  Mereka kebanyakannya terdiri daripada pekerja sektor pembinaan, perikanan dan perniagaan seperti yang ada di Kota Kinabalu.  



       Sejarah telah membuktikan bahawa telah wujudnya hubungan di antara bangsa Filipina dengan penduduk negeri Sabah (Borneo Utara) sejak tahun 1750-an atau lebih awal dari itu lagi, iaitu apabila pantai timur dan utara Borneo Utara diperintah oleh Kesultanan Sulu yang berpusat di Jolo. Walau

bagaimanapun, keberadaan warga Filipina di bumi Sabah sejak pemerintahan Kesultanan Sulu, British North Borneo Chartered Company, hingga sebelum hari pembentukan Malaysia pada tahun 1963 tidak boleh diklasifikasikan sebagai pendatang tanpa izin sepenuhnya kerana konsep persempadanan antarabangsa yang memisahkan dan memutuskan hubungan lampau secara
sah dari segi perlaksanaan dan penguatkuasaan perundangan belum lagi terjelma pada waktu itu (Tregonning, 1965).



       Dalam erti kata lain, penggunaan istilah pendatang tanpa izin warga Filipina di bumi dan perairan negeri Sabah hanya wujud apabila negeri ini secara rasminya mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Berdasarkan kepada laporan tidak rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Sabah) menganggarkan terdapat lebih setengah juta warga pendatang tanpa izin Filipina di Sabah. 



        Pada masa kini, keberadaan mereka ini boleh dilihat di seluruh bandar-bandar utama dan pedalaman Sabah dan jauh dari itu lagi mula mendominasi pelbagai kegiatan ekonomi di Sabah (Dzurizah Ibrahim & Jalilah Md. Shah, 2004). Sejarah kemasukan secara besar-besaran pendatang warga Filipina ke negeri Sabah sekitar tahun 1970-an berlaku disebabkan oleh dua faktor utama,

iaitu:

(1) krisis politik dan agama di antara pejuang Moro National Liberation Front atau MNLF yang berpusat di selatan Filipina dengan kerajaan Filipina di bawah pimpinan Ferdinand Marcos di Manila; dan

(2) kesudian para pemimpin Persekutuan dan Kerajaan Sabah untuk menerima para pelarian politik dan peluang-peluang pekerjaan di negeri ini.

         Pada awal tahun 1970-an telah menyaksikan ketidakstabilan politik di beberapa buah wilayah di selatan Filipina yang bersempadanan dengan pantai timur Sabah apabila berlakunya krisis politik di antara MNLF (Moro National Liberation Front) yang mewakili penduduk Filipina yang beragama Islam di selatan kepulauan Filipina yang cuba menuntut sebuah kuasa autonomi sendiri dari kerajaan Filipina (Manila).

         Pertempuran sengit lagi berpanjangan di antara tentera MNLF dengan tentera kerajaan Filipina telah menyebabkan berlakunya keadaan huru-hara, kesengsaraan dan korban jiwa penduduk Islam di selatan Filipina sehingga memaksa mereka berhijrah ke pantai timur Sabah melewati Laut Sulu untuk mendapatkan kuasa politik.





IMIGRAN DARI FILIPINA

bottom of page