top of page

Fenomena Penghijrahan Belia Sabah

dari Desa ke Bandar-bandar Utama
di Malaysia oleh: 
ROSLEE BIN HAJI ABBAS dan DZULKIFLEE ABDULLAH BIN BINSIN

            Migrasi merupakan perpindahan kekal dalam tempat perumahan dan ruang aktiviti seharian dijalankan. Penghijrahan manusia telah berlaku sejak 11,000 tahun yang lalu akibat daripada kesedaran masyarakat Zaman Batu terhadap limitasi ruang. Ia berpunca daripada tekanan-tekanan seperti populasi manusia semakin bertambah, keperluan makanan, perubahan cuaca dan dorongan-dorongan lain yang berkait rapat dengan ruang-lingkup di dunia ini yang luas pada masa tersebut (Fellmann, Getis & Getis, 2003:84).

            Menurut J.D. Fellmann, A. Getis & J. Getis (2003:86) lagi, migrasi boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu secara paksaan, secara sukarela dan perpindahan enggan (reluctant relocations). Migrasi secara paksaan boleh berlaku apabila keputusan perpindahan ke lokasi lain dibuat oleh orang lain selain
daripada individu yang bermigrasi itu. Sebagai contohnya adalah sistem perhambaan yang dilalui oleh orang Afrika yang telah berlaku dari lewat abad ke-16 sehingga awal abad ke-19.

          Manakala perpindahan enggan adalah situasi yang dialami oleh sekumpulan manusia yang terpaksa dipindahkan ke kawasan baru untuk diusahakan berdasarkan kepada polisi kerajaan. Contoh yang paling sesuai adalah perpindahan 8 juta penduduk di Jawa ke lokasilokasi baru pada tahun 1969. Ia juga dikenali sebagai program kolonisasi atau transmigrasi yang terbesar dalam sejarah (Hardjono, 1977).

            Majoriti pergerakan migrasi manusia adalah terdiri daripada migrasi secara sukarela. Ia menggambarkan reaksi individu-individu terhadap faktor yang mempengaruhi keputusan-keputusan yang berkaitan dengan ruang. Perpindahan berlaku
apabila individu-individu mendapati adalah perlunya untuk berpindah ke lokasi yang lain untuk memperbaiki keadaan hidup yang sedia ada. Fenomena migrasi juga disebabkan oleh pertumbuhan populasi yang cepat (Kottak, 2000:124). Ia disusuli dengan peluang kerja yang berkurangan di
kawasan luar bandar, khususnya di negara-negara kurang membangun. 

       Apabila ekonomi tradisional di kawasan luar bandar berkurangan, mereka terpaksa mencari rezeki di kawasan bandar. Akan tetapi mereka juga menghadapi masalah untuk mencari pekerjaan akibat daripada tahap pendidikan mereka yang rendah. Apabila penduduk dalam negara kurang maju mula memperolehi tahap pendidikan yang lebih baik, mereka cuba mendapatkan peluang-peluang pekerjaan yang lebih baik. Mereka juga berharap dapat melibatkan diri dalam budaya penggunaan antarabangsa, iaitu memiliki keselesaan hidup seperti pemilikan televisyen, peti sejuk, penghawa dingin, kenderaan dan sebagainya. Penghijrahan dari desa ke bandar-bandar utama di Malaysia ialah satu fenomena yang tidak asing lagi bagi golongan belia dan beliawanis di seluruh negara. Penghijrahan belia dari desa ke bandar bukan perkara baru tetapi ianya satu fenomena yang berlaku sejak beberapa puluh tahun lalu. 

Jurnal Pilihan

bottom of page